KLANG: Tindakan mencuri air terawat lebih setahun oleh pengusaha sebuah kolam pancing dekat kawasan perindustrian Selat Klang Utara, di sini yang mencecah sehingga 37,000 meter padu terbongkar.
Kegiatan tersebut dihidu pihak berkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang membuat serbuan terhadap premis berkenaan, hari ini.
Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd. Fazil Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut daripada Air Selangor apabila terdapat aduan berlaku tekanan air rendah di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, jumlah kerugian kecurian air ini dianggarkan RM110,000. 37,000 meter padu air mampu digunakan lebih 10 akaun pengguna Air Selangor.
“SPAN dan Air Selangor menjalankan siasatan terhadap kolam pancing itu selama enam bulan dan mengesahkan premis itu mencuri air terawat setelah ujian klorin dilakukan pada air yang digunakan pihak premis.
“Kolam pancing ini dipercayai mencuri bekalan air ini lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut, hari ini.
Jelasnya, paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) sepanjang kira-kira 70 meter (m) digunakan pihak premis terbabit bagi menyambungkan saluran air ke kolam pancing dari paip utama milik Air Selangor.
Kata Mohd. Fazil, air yang dicuri itu digunakan untuk kegunaan aktiviti harian mereka seperti mencuci baju pekerja, pekerja mandi, pelanggan mencuci tangan dan lain-lain lagi.
“Pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
“Pihak Air Selangor akan memotong bekalan air haram itu, hari ini dan sekiranya pemilik premis mahukan bekalan air secara sah, mereka perlu membayar jumlah kuantiti air yang mereka curi,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu SPAN mengesan 42 kes kecurian air terawat dari Januari sehingga Jun tahun ini di seluruh negara yang merangkumi kira-kira 20 kes selesai didakwa di mahkamah manakala selebihnya lagi masih dalam siasatan. – UTUSAN






