SHAH ALAM: Pemakaian tanda pemilikan dan penguatkuasaan terhadap ternakan lembu dan kerbau di Selangor akan diperkenalkan pada hujung tahun ini bagi menangani isu haiwan tersebut berkeliaran sehingga menyusahkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya.
Selain itu, hukuman terhadap pesalah juga akan ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dalam draf pindaan Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971.
Exco Pertanian dan Infrastruktur, Izham Hashim berkata, ketika ini tiada peruntukan khusus dalam enakmen tersebut yang menjadi kelemahan ketara dari sudut pelesenan.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Veterinar) Selangor dengan keizinan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sedang dalam proses penyediaan draf kaedah-kaedah pelesenan penternakan lembu dan kerbau supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
“Kadar penalti yang sebenar hanya akan ditentukan selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan.
“Undang-undang subsidiari itu dijangka dimuktamadkan sebelum 31 Disember ini tertakluk kelulusan oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Selepas itu, kerajaan negeri akan melaksanakan sesi penerangan dan libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkenaan peningkatan kadar kemalangan akibat lembu-lembu berkeliaran di jalan raya.
Izham yang juga ADUN Pandan Indah ketika menjawab soalan tambahan daripada Harrison memaklumkan terdapat tiga komponen utama diteliti dalam pindaan tersebut iaitu pelesenan, tanda pengenalan pada ternakan serta pematuhan bersekali di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita tidak kuatkuasakan kerana belum ada alternatif kepada penyelesaian jangka panjang. Suatu masa memang kita akui banyak aduan berkenaan kemalangan dan dalam masa sama ada masalah berkaitan sosial ganggu punca pendapatan.
“Selepas penguatkuasaan (enakmen) itu, mana-mana lembu yang ditangkap, kita akan ambil tindakan kepada tuannya. Sekarang kita tidak ada dalam peruntukan enakmen untuk terhadap mereka yang membiarkan lembu milik mereka berkeliaran sehingga menyusahkan orang ramai,” jelasnya.
Katanya lagi, bagaimanapun pindaan tersebut perlu mengambil kira kadar self-sufficiency ratio (SSR) terhadap sumber bagi keterjaminan makanan.
Dalam pada itu, Izham turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkaitan status ladang ruminan di Olak Lempit, Kuala Langat yang berdepan kelewatan.
“Projek sedang berjalan dan lebih dipanggil sebagai pusat trans-lokasi tujuannya untuk menempatkan lembu-lembu illegal yang perlu ditutup atau dipindahkan. Cuma isu yang ada adalah dari segi bekalan elektrik dan air bukan pemindahan dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan ternakan secara rayau tidak sesuai dan hampir mustahil untuk dilakukan di Selangor berikutan keluasan tanah yang sempit hanya boleh menggunakan kaedah feedlot.
“Kalau kita hendak buat konsep lembu jenis rayau, kita perlukan kawasan yang luas. Jadi hanya boleh buat feedlot, kita sediakan makanan bagi dalam kandang, itu boleh. Saya yakin ramai penternak di luar mereka tahu isu ini sebab itu mereka pilih hibrid iaitu rayau sedikit dan juga feedlot ataupun full feedlot,” jelasnya. – UTUSAN






