SHAH ALAM: Seorang lelaki yang sebelum ini dikesan kerana terlibat dalam kejadian samun dan tikam seorang pekerja dekat sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda, di sini, Isnin lalu, diberkas, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek diberkas kira-kira pukul 4.15 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki Pakistan berusia 39 tahun dekat sebuah pangsapuri yang terletak di Puncak Alam, Kuala Selangor.
“Polis turut merampas senjata yang digunakan serta pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, susulan penangkapan tersebut polis menyelesaikan kes tersebut dan memaklumkan suspek di bawah ke Mahkamah Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat,” ujarnya
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut meminta orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dengan polis dalam menangani kes-kes jenayah dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Syer Aidid di talian 013-6544996. – UTUSAN






