LAHAD DATU: Kegiatan pelacuran melalui platform media sosial yang aktif di kawasan ini tumpas selepas polis menahan lima individu dalam Op Noda di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada pukul 9.30 malam.
Katanya, suspek yang ditahan semuanya berusia 18 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
“Kegiatan ini dipercayai mula beroperasi sejak Mei tahun ini menggunakan aplikasi MiChat bagi mendapatkan pelanggan. Bayaran antara RM150 hingga RM300 dikenakan untuk setiap langganan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barang termasuk telefon bimbit, kondom, resit hotel serta kunci bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan sehingga enam kali,” katanya. – UTUSAN





