SHAH ALAM: Pengurusan tertinggi atau ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa bakal berdepan pertuduhan baharu di mahkamah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kesemua mereka akan didakwa dalam masa terdekat.
“Masih ada pendakwaan-pendakwaan yang akan dibuat. Saya tak boleh sebut (perinciannya) tetapi akan ada daripada kerajaan negeri kepada beberapa individu yang diambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Pada 7 November lalu, Nexbyte melaporkan CEO GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali dan 12 lagi anggota pertubuhan itu dibebaskan selepas dikenakan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, selain beliau tiga lagi masih berdepan 230 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih 2.41 juta di Mahkamah Sesyen di sini.
Ini melibatkan Nasiruddin dengan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 dan tiga bekas akauntan GISBH iaitu Hamimah Yakub, 73 melibatkan 59 pertuduhan dengan nilai RM2,145,357.62.
Selain itu, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, sebanyak 43 pertuduhan berjumlah RM3,806,392.01 dan 51 pertuduhan membabitkan RM8,136,047.51 dihadapi suaminya Mohd. Khushairi Osman, 54.
Mohammad Fahmi yang juga ADUN Seri Setia turut memaklumkan kesemua anggota yang dikaitkan dengan gerakan itu sudah pun selesai menjalani proses pemulihan, namun masih dipantau perkembangan mereka.
Menurutnya, pengurusan tertinggi yang berdepan pertuduhan sebelum ini sudah pun menerima hukuman sepatutnya.
“Yang dibebaskan itu pun sebab mereka sudah menjalani hukuman yang sepatutnya. Berdasarkan kelakuan yang baik, mengikut peruntukan undang-undang. Bukan soal kesalahan dibuat tetapi tiada hukuman.
”Hukuman tetap ada, mereka menjalani hukuman yang minimum dalam tempoh berkenaan dan mereka dibebaskan,” ujarnya. – UTUSAN






