SHAH ALAM: Sebanyak 295 kes buli melibatkan pelajar di kedua-dua sekolah rendah dan menengah di dalam dan luar bandar di negeri ini dilaporkan sejak Januari lalu.
Namun, daripada jumlah tersebut hanya sembilan kes sahaja yang dilaporkan kepada polis dan dibuka kertas siasatan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, ia merupakan sebahagian daripada 1,219 kes salah laku pelajar sekolah, namun hanya 41 yang dilaporkan kepada polis dan sembilan daripadanya membabitkan buli.
“Ia maklumat yang direkodkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS). Sebahagiannya apabila dilaksanakan siasatan tidak mempunyai keterangan yang cukup dan dianggap sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) bagi jabatan atau polis,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bilangan kes salah laku yang direkodkan dalam kalangan pelajar di negeri ini masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelajar 997,000 orang di 994 buah sekolah atau 0.12 peratus.
“Jumlah pelajar hampir sejuta orang bukan sesuatu yang mudah bagi 60,000 orang guru untuk mengawalnya. Tiada sekolah yang kritikal.
“Pastinya, di Selangor masih sangat baik, cuma ada satu atau dua kes yang saya sebutkan (seperti kes tikam pelajar di Bandar Nexbyte, Petaling Jaya), namun ia diberikan persepsi (yang tidak baik). Sebenarnya kita sangat baik,” ujarnya.
Selain itu, Mohd. Zaini memaklumkan cadangan melibatkan pegawai perhubungan sekolah (PPS) daripada polis dimasukkan dalam jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah akan dicadangkan dalam mesyuarat bersama Ketua Pengarah Pendidikan dan Ketua Polis Negara, esok.
“Ia meliputi satu jaringan yang bergabung dan memerlukan kerjasama erat serta saling mempercayai dengan semua pihak. Semua menjadi rakan strategik. Esok akan ada satu mesyuarat. Antara langkah komitmen Polis Selangor melaksanakan rondaan ke dalam sekolah.
“Kedua pemeriksaan mengejut di sekolah harian biasa dan sekolah berasrama untuk mengenal pasti masalah. Ketiga, sesi perjumpaan bersama PPS, guru-guru, ibu bapa dan pelajar. Kita cadangkan PPS kita menjadi ex-officio dalam PIBG,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd. Zaini hadir dalam Perhimpunan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dan memberikan taklimat berkenaan faktor salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar sempena kempen ‘Kami Benci Buli’. – UTUSAN






