KLANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menghalang tugas penjawat awam dan cuba membunuh anggota polis dekat sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek berusia 33 tahun itu dikatakan cuba menggilis anggota polis yang menyedari kehadirannya di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, insiden tersebut berlaku selepas polis mengesan suspek menaiki Toyota Vios berwarna putih itu terlibat dengan kes samun di Subang Jaya.
“Bagaimanapun, suspek yang menyedarinya bertindak agresif dengan menolak anggota polis itu sebelum melarikan diri dengan menaiki keretanya.
“Pada masa tersebut, kereta suspek melanggar yang digunakan oleh anggota berkenaan dan hampir menggilis kakinya sebelum melarikan diri dengan bertindak melawan arus untuk masuk ke jalan utama menghala ke Shah Alam,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, suspek juga kemudian cuba mengelak daripada dikesan polis dengan meninggalkan kereta di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim, namun ditahan kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi berdasarkan maklumat risikan.
“Suspek ditahan di Bukit Tinggi, di sini. Semakan ke atasnya juga mendapati suspek mempunyai 25 rekod lampau termasuk lima berkaitan dadah. Polis turut menyiasat jika lelaki itu turut terlibat dengan sebarang jenayah lain,” jelasnya.
Kata Ramli, anggota polis berkenaan pula sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), sementara keretanya pula rosak.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam serta cubaan membunuh,” ujarnya. – UTUSAN






