PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan semula wakil rakyat parti itu berkaitan sumpah baiah yang pernah dibuat sebelum ini.
Menurutnya, wakil rakyat terbabit akan dilaknat ‘Allah, rasul dan orang beriman’ sekiranya meninggalkan parti selain segala perbelanjaan digunakan atas nama parti adalah haram.
Beliau turut mendakwa sumpah itu juga menetapkan mana-mana wakil rakyat yang keluar atau dipecat daripada parti perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau membayar pampasan sebanyak RM10 juta kepada Bersatu.
“Patuh kepada Perlembagaan Bersatu, dasar-dasar dan arahan parti. Jika meninggalkan parti atau bertukar ke parti lain, maka akan dilaknat Allah, Rasul dan orang yang beriman, segala perbelanjaan menggunakan elaun ahli dewan tersebut adalah haram.
“Akan meletakkan jawatan dari menjadi Ahli Dewan atau akan membayar RM10 juta kepada Bersatu apabila keluar atau dipecat dari parti.
“Tazkirah dan ingatan kepada mereka yang terbabit, kalau mereka ada yang membaca lafaz sumpah dan baiah ini,” katanya yang turut memuat naik gambar dokumen lafaz sumpah baiah terbabit.
Media semalam melaporkan, bekas Timbalan Presiden Bersatu yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan dilaporkan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut itu.
Pada 13 Februari lalu, Hamzah dipecat daripada Bersatu selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Beliau dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana didakwa menjadi dalang mencetuskan kekecohan pada perhimpunan parti September lalu selain tidak menghalang kenyataan memburukkan Presiden, Muhyiddin Yassin.
Dalam perhimpunan sehari kemudiannya, selain mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Muhyiddin, Ahli Parlimen Larut itu turut mengumumkan gerakan ‘reset’ untuk membina semula negara dengan menyeru ‘sahabat’ beliau menyokong perjuangannya. – UTUSAN






