PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berpeluang mencerahkan peluang untuk beraksi pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada 11-15 Disember ini selepas menokok 9,200 mata selaku juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, minggu lalu.
Pasangan No. 8 dunia itu kini di kedudukan kelima setelah mengumpul 67,760 mata keseluruhan dalam kemaskini terakhir yang dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 1 Oktober lalu.
Jika kutipan mata pada Terbuka Arctic diambil kira, Sze Fei-Izzuddin bakal melonjak ke kedudukan ketiga dengan 76,960 mata di belakang gandingan No. 2 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang ditewaskan mereka di pentas akhir 15-21, 21-15, 21-19.
Hanya lapan tempat ditawarkan kepada pemain perseorangan dan beregu yang mengumpul mata terbanyak dalam Jelajah Dunia akan bertarung bagi merebut gelaran pada kejohanan berprestij penutup musim itu.
Izzuddin ketika ditemu bual Spotv selepas final Terbuka Arctic berkata, berdepan beregu handalan dunia pada kejohanan itu benar-benar menguji mental dan fizikal mereka.
“Sejak suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir, kesemua perlawanan ini sangat sukar buat kami, kena bersedia fizikal dan mental,” kata Izzuddin yang mendedikasikan kejayaan itu kepada isterinya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 tahun.
Menurut anak jati Johor itu, pertarungan sepanjang kejohanan berstatus Super 500 tersebut sangat meletihkan dan dia serta Sze Fei perlu fokus perlawanan demi perlawanan.
Selain Astrup-Rasmussen, Sze Fei-Izzuddin juga perlu mengharungi laluan sukar sejak di peringkat lapan terbaik apabila berdepan beregu handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang disingkirkan dengan keputusan 23-21, 19-21, 22-20.
Pasangan No. 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pula menanti mereka di separuh akhir yang menyaksikan Sze Fei-Izzuddin diheret sehingga ke set penentuan sebelum menang 19-21, 21-17, 21-18.
Sze Fei pula memberitahu, kunci kejayaan mereka berdua ialah saling percaya antara satu sama lain serta terus mencuba tanpa berputus asa dan paling penting mengendalikan tekanan dengan baik.
Terbuka Arctic merupakan gelaran kedua berturut-turut dicatat Sze Fei-Izzuddin selepas menjuarai Terbuka China, bulan lalu dan selaku juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM142,309) berserta pingat emas.
Kejayaan di Terbuka Arctic juga menyaksikan Sze Fei-Izzuddin kini telah memenangi kesemua pertandingan dalam Siri Super iaitu Super 100, Super 300, Super 500, Super 750 dan Super 1,000. – UTUSAN






