HONG KONG: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim enggan mempercayai khabar angin yang mengaitkan tonggaknya Bruno Fernandes akan berhijrah ke Liga Pro Saudi.
Amorim berkata demikian selepas menyaksikan anak-anak buahnya mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan pilihan Hong Kong dalam aksi persahabatan, kelmarin.
Kata Amorim, kapten pasukan berusia 30 tahun itu menunjukkan isyarat jelas mahu terus kekal bersama skuad The Red Devils meskipun menerima pelbagai tawaran lumayan dari luar.
“Saya tidak fikir itu perlawanan terakhirnya (menentang Hong Kong). Saya tidak tahu dengan pasti, tetapi saya fikir dia mahu kekal (di Old Trafford). Dia sudah menolak banyak tawaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Terdahulu, laporan media menyebut kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal bersedia membida Fernandes dengan tawaran mencecah 100 juta pound (RM603 juta) bagi memperkukuh barisan tengah mereka musim hadapan.
Mengulas lanjut, Amorim mengakui Fernandes melalui musim yang cukup mengecewakan namun tetap profesional dan memahami hala tuju baharu yang dibawa oleh pengurusan.
“Dia sangat kecewa dengan apa yang berlaku musim ini, tetapi dia tahu apa yang kami sedang usahakan. Saya bercakap dengannya secara peribadi dan daripada perbualan itu, saya dapat rasakan dia mahu terus kekal di United,” katanya.
Dalam aksi semalam, United ketinggalan 0-1 pada babak pertama selepas dibolosi Juninho seawal minit ke-19, namun bangkit dengan tiga jaringan menerusi Chido Obi yang menyumbat dua gol dan Ayden Heaven pada masa kecederaan.
Kemenangan itu sedikit sebanyak menutup mulut pengkritik selepas skuad bimbingan Amorim dikecam hebat susulan kekalahan 0-1 kepada ASEAN All-Stars di Malaysia, selain diperli kerana mengadakan perarakan bas terbuka di Kuala Lumpur. – AGENSI/UTUSAN






