LONDON: Manchester United telah membuat tawaran pertama mereka untuk penyerang Brentford, Bryan Mbeumo dengan bayaran RM316.4 juta walaupun jumlah sebenar dikenakan The Bees mungkin jauh lebih tinggi.
Ruben Amorim sedang berusaha memperkukuh barisan serangan United dan Mbeumo menjadi sasaran sebagai pemain kedua yang ingin ditandatangani kelab itu musim panas ini, selepas Matheus Cunha.
Kontrak Mbeumo akan tamat tahun depan, walaupun Brentford mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi.
Pemain antarabangsa Cameroon itu berminat untuk berpindah ke Old Trafford jika persetujuan dapat dicapai, dan rundingan masih berlangsung, dengan Brentford meletakkan nilai melebihi RM316 juta terhadap Mbeumo.
Pemain berusia 25 tahun itu menikmati musim yang mengagumkan dengan menjaringkan 20 gol dan mencipta lapan bantuan gol untuk The Bees, serta bermain setiap minit dalam musim Liga Perdana.
Pengendali United, Thomas Frank mengakui pasukannya yang menamatkan musim di tangga ke-10 dalam Liga Perdana akan menjual penyerang mereka jika menerima tawaran yang sesuai.
“Jika dia hendak dijual, ia mesti untuk jumlah yang sangat besar. Sangat banyak. Maka jelas bahawa mustahil untuk menggantikannya satu lawan satu. Ia tidak boleh dilakukan,” katanya.
Mail Sport sebelum ini melaporkan United bersedia untuk memulakan rundingan rasmi dengan Brentford mengenai pemain berusia 25 tahun itu selepas Mbeumo menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Old Trafford.
Newcastle United, Tottenham dan Arsenal semuanya telah menghubungi Mbeumo, tetapi dia telah memberitahu United bahawa dia mahu menyertai mereka dan menjadi sebahagian daripada pembinaan semula Ruben Amorim musim panas ini.
United bersedia untuk menjual pemain bagi membiayai penstrukturan semula skuad Amorim yang hambar.
Mereka berhasrat untuk melepaskan bintang yang tersisih seperti Marcus Rashford dan Jadon Sancho musim panas ini, dua daripada penerima gaji tertinggi di kelab itu dengan sekitar £300,000 seminggu.
Jika mereka berjaya menjual kedua-duanya, ini akan membuka ruang besar dalam struktur gaji kelab.
Namun, jika permintaan gaji Mbeumo dipenuhi, dia akan menjadi antara penerima gaji tertinggi di United.
Menurut The Times, Mbeumo kini memperoleh sekitar RM287.3 juta seminggu tetapi mahukan kenaikan gaji lima kali ganda jika perpindahan itu berlaku.
Alejandro Garnacho, Kobbie Mainoo, Antony, dan Andre Onana juga berkemungkinan akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini manakala Rasmus Højlund mungkin dibenarkan berpindah dengan bayaran rendah.
United benar-benar terdesak untuk memperkuat serangan mereka selepas musim yang mengecewakan, di mana mereka menamatkan saingan di tangga ke-15 dan gagal layak ke kejohanan Eropah hanya kali kedua dalam 35 tahun.
Mereka hanya menjaringkan 44 gol dalam Liga Perdana, iaitu jumlah kedua terendah dalam kalangan pasukan yang tidak tersingkir. – AGENSI/UTUSAN






