LONDON: Impian masa kecil Bryan Mbeumo akhirnya menjadi kenyataan apabila pemain sayap Cameroon itu menandatangani kontrak hingga 2030 bersama Manchester United.
Transaksi pembelian pemain berusia 25 tahun itu mencecah 65 juta pound (RM371 juta) dengan tambahan 6 juta pound (RM34 juta) dalam bentuk bonus yang dipersetujui Brentford.
“Sejak saya tahu ada peluang untuk menyertai Manchester United, saya terus ambil kesempatan itu untuk menandatangani kontrak bersama kelab impian saya.
“Kelab yang mana jersinya saya pakai sewaktu membesar. Ini kelab yang besar, dengan stadium yang luar biasa dan penyokong yang menakjubkan.
“Kami semua benar-benar berazam untuk mencabar kejuaraan utama,” kata Mbeumo selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford hingga 2030 dengan pilihan sambungan setahun.
Ketua jurulatih United, Ruben Amorim menandatangani dua lagi pemain pada musim panas ini dalam usaha mengelak ulangan prestasi buruk musim lalu yang menjadi sejarahkelab.
Mereka tewas kepada Tottenham pada final Liga Europa dan menamatkan saingan liga di tangga ke-15, iaitu kedudukan terburuk sejak musim 1973-1974.
Penyerang Wolves, Matheus Cunha dan pertahanan muda Paraguay, Diego Leon turut berpindah ke Old Trafford ketika Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee bergelut sebagai penyerang utama.
“Falsafah saya adalah untuk sentiasa menjadi lebih baik berbanding semalam.
“Saya sedar saya ada semangat dan karakter untuk capai tahap lebih tinggi di sini, belajar di bawah Ruben Amorim dan beraksi bersama pemain bertaraf dunia,” kata Mbeumo.
Mbeumo menyerlah sepanjang enam tahun di Brentford, menjaringkan 70 gol dan mencipta 51 umpanan gol dalam 242 penampilan bagi semua pertandingan sejak berpindah dari kelab Perancis, Troyes pada 2019.
Dia membantu Brentford naik ke Liga Perdana Inggeris pada 2021 dan memainkan peranan penting dalam pencapaian tempat ke-10 liga musim lalu. – AGENSI/UTUSAN






