LONDON: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes dilaporkan menerima tawaran untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr menurut laporan daripada portal Portugal.
Menurut laporan A Bola, Al-Nassr kini telah membuat percubaan untuk mendapatkan Fernandes dengan mendekati pemain berusia 30 tahun itu minggu ini.
Laporan tersebut mendakwa ketua jurulatih baharu Al-Nassr, Jorge Jesus sedang mengetuai usaha kelab tersebut untuk mendapatkan Fernandes kerana pernah melatih pemain tengah itu selama satu musim di Sporting Lisbon.
Al-Nassr percaya bahawa kehadiran Jorge Jesus serta rakan sepasukan Portugal, Cristiano Ronaldo mampu mempengaruhi Fernandes supaya berhijrah ke Liga Pro Saudi.
Awal minggu ini, Al-Nassr juga telah melengkapkan perpindahan bernilai 43.7 juta pound (RM248 juta) untuk mendapatkan penyerang Portugal, Joao Felix dari Chelsea.
Terdahulu, Fernandes menolak tawaran lumayan untuk menyertai Al-Hilal apabila kelab Saudi itu sanggup menawarkan kontrak bernilai 200 juta pound (RM1.1 bilion) selama tiga musim kepada pemain tengah tersebut.
“Ada peluang. Presiden (Al-Hilal) menghubungi saya dan bertanya sama ada saya mahu pergi ke sana. Mereka sedang menunggu saya. Saya bercakap dengan jurulatih (Ruben) Amorim. Dia minta saya supaya tidak pergi.
“Manchester United tidak mahu menjual saya. Mereka tidak perlukan wang itu. Jika saya mahu pergi, mereka akan benarkan,” kata Fernandes. – AGENSI/UTUSAN






