MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke kelab Serie A, Napoli.
Menurut laporan, Napoli sedia melengkapkan perpindahan penyerang Denmark itu dengan syarat pinjaman beserta klausa pembelian wajib.
Klausa bernilai sekitar 39 juta pound (RM221 juta) itu akan bergantung kepada jumlah penampilan, jaringan dan kelayakan Napoli ke Liga Juara-Juara musim ini.
Jika perpindahan dimeterai, United dijangka mengalami kerugian 33 juta pound (RM187 juta) kerana mereka membayar 72 juta pound (RM408 juta) untuk mendapatkan Hojlund dari Atalanta dua tahun lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu langsung tidak diturunkan musim ini ketika pengurusan kelab berusaha mencari jalan keluar untuknya berpindah kelab lain.
Musim lalu, Hojlund menjaringkan 10 gol dalam 52 penampilan bersama United, gagal menepati kehendak besar kelab berpangkalan di Old Trafford itu.
Napoli ketika ini terdesak mencari penyerang baharu selepas Romelu Lukaku terpaksa berehat panjang akibat kecederaan paha, dan Hojlund menjadi sasaran utama. – AGENSI/UTUSAN






