LONDON: Alejandro Garnacho telah menyampaikan mesej kepada Manchester United di tengah-tengah usaha Chelsea mendapatkan pemain yang dianggarkan bernilai 50 juta pound (RM255 juta) itu.
Pemain Argentina itu yang diletakkan dalam ‘skuad buangan’ terdiri lima orang oleh Ruben Amorim awal musim panas bersama bekas pemain lain seperti Jadon Sancho, Antony, Marcus Rashford dan Tyrell Malacia, sedang berusaha untuk meninggalkan Old Trafford menjelang musim baharu yang dijangka menyaksikannya tersisih sepenuhnya.
Garnacho telah diberitahu oleh Amorim pada Mei lalu supaya mencari kelab baharu, selepas tidak berpuas hati apabila bermula di bangku simpanan dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Daily Mail Sport melaporkan Garnacho telah menetapkan hasratnya berpindah ke Chelsea, dengan kelab itu menunjukkan minat yang kuat terhadap pemain berusia 21 tahun tersebut.
United pada awalnya meletakkan harga 70 juta pound (RM398 juta) tetapi kemudian menurunkan harga permintaan kepada 50 juta pound (RM255 juta) dengan harapan dapat melengkapkan perpindahannya.
Menurut Fabrizio Romano, Garnacho memberitahu United supaya mengatur perpindahannya ke Chelsea atau dia sanggup duduk di bangku simpanan untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Wartawan tersebut kemudiannya memuat naik di platform media sosial X bahawa Chelsea telah meningkatkan rundingan dengan United mengenai kemungkinan perpindahan pemain itu, selepas mencapai persetujuan terma peribadi dengan pemain itu.
Secara keseluruhan, Garnacho telah membuat 144 penampilan bersama United, menjaringkan 26 gol dan mencatat 22 bantuan jaringan. – AGENSI/UTUSAN






