MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan dia tidak akan mengubah formasi ataupun taktikal walaupun sering ‘menderita’ terutama selepas kekalahan 0-3 pada aksi berdepan musuh tetangga, Manchester City, kelmarin.
The Red Devils hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selain tersingkir daripada Piala Liga di tangan kelab divisyen empat, Grimsby.
Sejak mengambil alih pasukan November lalu, United hanya menang lapan daripada 31 aksi liga, menamatkan musim lalu di tangga ke-15.
Amorim juga kurang senang apabila ditanya sama ada dia perlu menilai semula sistem formasi kegemarannya 3-4-3.
“Saya faham dan saya terima. Ia memang rekod yang tidak sepatutnya ada bagi Manchester United.
“Saya tidak akan berubah. Bila saya mahu ubah falsafah saya, barulah saya akan ubah. Jika tidak, anda kena ubah pemain. Saya main dengan cara saya dan akan terus main begitu sampai bila saya sendiri mahu berubah,” kata pengendali dari Portugal itu.
Bekas pengendali Sporting Lisbon itu setakat ini masih mendapat sokongan penuh hierarki kelab, dengan dibenarkan berbelanja sebanyak 200 juta pound (RM1.14 bilion) bagi membentuk jentera serangan baharu.
United sekadar menjaringkan empat gol dalam EPL setakat ini, dengan dua daripadanya gol sendiri lawan, manakala satu lagi menerusi sepakan penalti. – AFP/UTUSAN






