LONDON: Aksi Manchester United dan Manchester City yang akan turun berentap, malam ini di Stadium Etihad menjadi perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.
Derbi Manchester kali ke-197 itu, menyaksikan kedua-dua pasukan telah melakukan perubahan besar sejak pertembungan final Piala FA 2024 di Wembley.
Secara keseluruhan, hanya 21 daripada 40 pemain kedua-dua skuad yang beraksi di Wembley masih kekal di Manchester.
Pertembungan itu juga menjadi misi untuk City mengelak kekalahan ketiga berturut-turut di EPL, terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Pengurus City, Pep Guardiola dan pengendali United, Ruben Amorim sama-sama berada dalam tekanan walaupun saingan musim ini baru berlangsung tiga perlawanan.
Kedua-dua pasukan ketika ini menghadapi bermasalah, di mana masing-masing hanya menang sekali daripada tiga perlawanan.
Guardiola, berharap pasukan dapat bermula garang dalam aksi itu meskipun ketika ini City berdepan masalah kecederaan dan benteng pertahanan yang rapuh.
Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma dijangka membuat penampilan sulung dalam perlawanan itu bagi menjadi benteng terakhir City.
“Kemenangan sangat penting ketika ini selepas pasukan tewas dalam dua aksi berturut-turut. Kita perlu elak kekalahan seterusnya terutama berdepan United.
“(Erling) Haaland beraksi sangat baik bersama Norway di perlawanan antarabangsa baru-baru ini dan sudah tentu kita harap dia mampu mengekalkan prestasi itu bersama kelab,” kata Guardiola.
Sementara itu, Amorim sedar bermain di Etihad bukan tugasan yang mudah buat anak-anak buahnya, namun tidak mustahil untuk United mencipta kejutan.
Katanya, pasukannya telah bersedia untuk berdepan City dan telah menganalisis taktikal yang akan diterapkan.
“Perkara kecil yang kadang-kadang kami lepaskan, bukan dalam perlawanan besar seperti ini. Saya lebih selesa dalam perlawanan seperti ini kami akan bersedia menentang pasukan yang sangat kuat.
“Saya rasa kami pasukan yang lebih baik berbanding Disember lalu. Jika anda lihat dari apa jua aspek, termasuk data, kami berbeza. Kami sudah bersedia untuk bermain, tetapi perlu membuktikannya pada Ahad ini.
“Kami sedar penyokong mengharapkan kemenangan dan tentu sekali kami juga mahukan perkara sama,” tegas Amorim. – AGENSI/UTUSAN






