LONDON: Legenda Manchester United, Paul Scholes merasakan Ruben Amorim telah diberikan terlalu banyak masa, namun gagal membawa perubahan kepada The Red Devils.
Bekas arkitek tengah United itu berkata, penyokong juga sudah muak untuk membincangkan tentang pemecatan pengendali itu selepas tiada Tindakan drastic daripada pengurusan.
“Saya rasa bersama Amorim, ia sudah sampai ke tahap di mana kita tidak mahu terlalu kerap bercakap tentang pemecatan dan United sebenarnya telah memberikan masa yang cukup kepadanya,” kata Scholes.
Amorim kini berada di bawah tekanan hebat selepas permulaan musim yang mengecewakan, selepas mengakhiri kempen di kedudukan ke-15 musim lalu walaupun kelab sudah membuat pelaburan besar dalam skuad pada musim panas.
United meraih kemenangan 2-0 ke atas Sunderland pada Sabtu lalu, sekali gus sedikit meredakan tekanan terhadap pengendali berusia 40 tahun itu.
Kemenangan itu menyaksikan United menutup aksi liga sebelum rehat antarabangsa di tangga ke-10, dengan tiga kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan setakat ini.
Sementara itu, bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher mendakwa pemecatan Amorim adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, sambil mendedahkan bila beliau menjangka kelab itu akan membuat perubahan.
Carragher menegaskan, tempoh Amorim perlu ditamatkan secepat mungkin, namun United belum memecatnya kerana tindakan itu akan dianggap bahawa mereka telah melakukan kesilapan dalam pelantikannya.
Walaupun United menang ke atas Sunderland, Carragher tetap berpegang pada pandangannya dan menjangka Amorim akan meninggalkan Old Trafford sebelum Krismas.
“Saya tidak suka mengatakan seseorang pengurus patut dipecat kerana ia tidak sopan dan ia melibatkan periuk nasi seseorang, tetapi saya sampai ke tahap di mana saya fikir kedudukan Amorim tidak lagi dapat dipertahankan.
“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan akan berlaku sebelum Krismas. Statistiknya sungguh mengejutkan bagi seorang pengurus United. Dalam 50 perlawanan bersama United, pasukannya hanya menjaringkan dua gol lebih banyak daripada yang dibolosi,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






