AMSTERDAM: Pengendali Belanda, Ronald Koeman menyifatkan Matthijs de Ligt berhak disenaraikan dalam skuad kebangsaan semula selepas memperagakan aksi cemerlang bersama Manchester United.
De Ligt yang menjaringkan gol penyamaan lewat permainan ketika menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu, menggantikan Stefan de Vrij dari Inter Milan yang digugurkan bagi dua aksi kelayakan Piala Dunia menentang Poland dan Lithuania.
Belanda kini mendahului kumpulan dengan kelebihan tiga mata berbanding Poland serta memiliki perbezaan jaringan yang selesa untuk layak ke Piala Dunia.
Skuad kendalian Koeman akan mengesahkan tiket ke Piala Dunia jika menang di Warsaw pada Jumaat ini atau menentang Lithuania di Amsterdam pada Isnin depan.
“Sebahagianya berdasarkan minit permainan, walaupun Nathan Ake tidak bermain 50 peratus perlawanan bersama Manchester City, dia masih sebahagian daripada skuad ini.
“Setiap pemain dinilai secara berasingan. Saya rasa De Ligt wajar dipanggil semula berdasarkan prestasi yang ditunjukkannya.
“Dia melalui tempoh sukar sebelum ini. Saya pernah beritahu dia kelihatan tidak yakin ketika bermain, tetapi kini jauh lebih baik. Kedudukannya di kelab dan prestasi pasukan juga sentiasa diambil kira,” kata Koeman.
Mengulas tentang Ake, Koeman berkata kelebihan pemain kaki kiri itu penting untuk mengimbangi jumlah pertahanan kaki kanan dalam skuad.
“Nathan sendiri sedar dia kurang bermain. Namun dia adalah salah seorang kapten saya. Dia pemain kaki kiri, sedangkan kita mempunyai ramai pertahanan tengah kaki kanan.
“Itu memberikan keseimbangan penting dalam skuad. Dia pemain penting dan sentiasa ada apabila saya memerlukannya,” jelasnya. – AGENSI/UTUSAN






