Isu terlebih kelayakan merujuk kepada fenomena memiliki kelayakan pendidikan yang melebihi keperluan pekerjaan. Contohnya, seseorang graduan mempunyai kelayakan ijazah tetapi bekerja pada jenis pekerjaan yang memerlukan kelayakan pendidikan menengah.
Ini mengakibatkan penggunaan modal insan yang tidak optimum apabila pekerjaan yang tidak memanfaatkan kelayakan dan kemahiran yang tersedia, dan akhirnya mengakibatkan pekerja menerima gaji yang rendah.
Berdasarkan data Kajian Pengesanan Graduan yang dikumpulkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), analisis Khazanah Research Institute mendapati lebih 40 peratus graduan baharu terlebih kelayakan dalam pekerjaan pertama mereka selepas tamat pengajian.
Ini seiring dengan kebimbangan mengenai pengangguran graduan dan belia, kerana ia memberi impak yang besar kepada prospek kerjaya jangka panjang dan persepsi belia tentang pulangan pendidikan.
Beberapa faktor telah menyumbang kepada isu terlebih kelayakan ini. Akses meluas kepada pendidikan tinggi telah menyebabkan kebanjiran graduan berkelulusan tinggi di pasaran kerja, menjadikannya sukar untuk menyesuaikan kelayakan dengan jawatan yang tersedia.
Selain itu, terdapat jurang antara kehendak majikan dan kemahiran yang ditawarkan graduan, ditambah pula dengan kemajuan teknologi yang pesat. Faktor ekonomi turut menyumbang apabila kadar penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran adalah perlahan.
Malah, kepesatan peluang pekerjaan gig hanya menawarkan pulangan yang tidak stabil dan terdedah kepada risiko perlindungan sosial. Beberapa kajian empirikal telah membuktikan bagaimana ekonomi gig dan platform atas talian, atas nama fleksibiliti dan pendapatan lumayan tanpa intervensi wajar dari kerajaan telah meningkatkan isu ketidakpadanan kelayakan dalam pasaran kerja dan risiko terhadap perlindungan sosial.
Graduan dari keluarga berpendapatan rendah umumnya terpaksa menerima pekerjaan yang bergaji rendah, dan terdedah kepada risiko “terlebih kelayakan”. Situasi ini bukan sahaja menyumbang kepada produktiviti dan gaji yang rendah, malah mempengaruhi mobiliti kerjaya mereka pada masa hadapan.
Graduan yang terperangkap dalam isu terlebih kelayakan ini juga menghadapi cabaran untuk mengecapi kemajuan kerjaya yang lebih baik pada pekerjaan seterusnya.
Isu terlebih kelayakan juga tinggi dalam kalangan graduan wanita disebabkan tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka seperti menyeimbangkan tanggungjawab kerja dan keluarga, diskriminasi dalam bidang yang didominasi oleh lelaki.
Ini seperti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta stereotaip budaya. Sepatutnya, setiap individu layak mendapat peluang yang adil untuk kejayaan kerjaya berdasarkan kemahiran dan kelayakan mereka.
Ketidakpadanan antara kelayakan dan peluang pekerjaan sangat ketara dalam sektor-sektor seperti pertanian, industri perkhidmatan bukan moden, dan bidang-bidang yang kurang berkaitan dengan teknologi tinggi.
Walaupun sektor-sektor ini mempunyai potensi tersendiri untuk mencipta pekerjaan yang berkualiti, peluang penciptaan pekerjaan tersebut kekal menjadi cabaran disebabkan oleh penggunaan teknologi yang masih rendah serta kebergantungan tinggi kepada buruh asing.
Sudah masanya reformasi pasaran buruh yang menyeluruh dilaksanakan dan inisiatif sedia ada diperkasa bagi memberdayakan graduan, terutamanya dalam sektor-sektor tersebut. Strategi utama perlu melibatkan pelaburan yang memfokus kepada penggunaan teknologi tinggi dan inovasi untuk memastikan graduan mendapat peluang kerjaya yang setara dengan kelayakan mereka.
Walaupun isu terlebih kelayakan ini bermula pada peringkat individu, yang sering didakwa sebagai terlalu memilih pekerjaan dan mengharap gaji permulaan yang tidak setimpal, sekiranya tidak ditangani dengan berkesan, ia berpotensi memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan pasaran buruh.
Graduan melabur masa dan wang dalam pendidikan tinggi dengan pulangan yang minimum, majikan pula menggaji pekerja di bawah kelayakan dengan produktiviti rendah dan masyarakat akhirnya perlu berhadapan dengan pasaran buruh yang tidak efisien.
Lebih teruk lagi, isu terlebih kelayakan ini dapat dilihat melalui peningkatan graduan baharu yang berkelayakan ijazah tinggi seperti Sarjana dan PhD. Walaupun perkembangan ini mencerminkan akses yang lebih baik kepada pendidikan tinggi negara, namun ia terus menimbulkan cabaran dalam pasaran kerja.
Di sebalik kelayakan yang tinggi, ramai graduan ijazah tinggi ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, dengan kadar pengangguran dalam kalangan mereka meningkat kepada 15.5 peratus pada 2020, berbanding kira-kira lima peratus sedekad yang lalu.
Memiliki ijazah tinggi umumnya didapati berperanan dalam menentukan gaji tinggi kepada graduan. Pada 2021, 74 peratus graduan berkelayakan ijazah tinggi bergaji melebihi RM3,000.
Namun, dalam kalangan lulusan PhD, peratusan yang menerima gaji melebihi RM3,000 menurun daripada 92 peratus pada 2010 kepada 86 peratus pada 2021. Justeru, kelayakan akademik dan pengalaman praktikal boleh pindah (transferable skills) adalah sama penting dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan apabila golongan ini didapati lebih cenderung mendapat jawatan yang diinginkan.
Perbezaan antara kehendak pasaran buruh dalam kalangan graduan dan kebimbangan majikan menggaji graduan yang tidak berpengalaman menyebabkan isu terlebih kelayakan semakin membarah.
Isu-isu biasa yang dikemukakan oleh majikan adalah jurang kemahiran dan pengalaman, yang menjadi alasan mereka untuk tidak mengambil pekerja yang mempunyai kelayakan lebih tinggi. Justeru, graduan harus menepis alasan ini dengan melengkapkan pencapaian akademik dengan kemahiran praktikal yang boleh mereka tawarkan serta kebolehan menyesuaikan diri.
Di samping itu, graduan harus proaktif dalam memahami dinamik pasaran kerja dan melengkapi diri dengan kemahiran yang diperlukan. Melalui persediaan kemahiran, kemampuan menyesuaikan diri dan berpengetahuan tentang tuntutan industri, mereka dapat mengatasi cabaran dalam pasaran kerja.
Pada masa yang sama, sektor ekonomi negara memerlukan pemerkasaan yang lebih kukuh, diterjemah melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang memanfaatkan tenaga kerja berpendidikan tinggi negara. – UTUSAN
DR. Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim ialah Penyelidik Bersekutu Khazanah Research Institute.






