KESUNGGUHAN Malaysia mahu menyertai kumpulan organisasi antara kerajaan BRICS sudah sampai ke peringkat penyerahan surat permohonan rasmi kepada Russia selaku pengerusi. Keputusan itu dikatakan sebahagian strategi negara dalam beberapa perkara tetapi mengundang banyak persoalan kritikal dan isu strategik berkaitan ekonomi, diplomatik serta politik.
Hakikat di sebalik prestasi dan kejayaan negara anggota, BRICS masih banyak cabaran struktural serta dalaman yang perlu dihadapi. Antaranya ketidakstabilan politik, saiz ekonomi, kelembapan inovasi dan tahap pembangunan teknologi yang rendah selain risiko dan inovasi sistem kewangan kurang matang. Satu laporan menyatakan, BRICS mungkin menyaksikan pertumbuhan yang substansial namun jurang ekonomi yang besar antara BRICS dan G7 masih sukar dirapatkan sebelum 2050.
Walaupun menjelang 2023, penguasaan G7 ke atas ekonomi dunia menyusut kepada 31.54 peratus dan pertumbuhan pesat BRICS tidak boleh dinafikan, namun dominasi ekonomi dunia sebenar masih dalam tangan G7 dari segi inovasi teknologi, kestabilan politik dan kekuatan sistem kewangan. Bagi negara seperti Malaysia yang bergantung kepada kestabilan ekonomi global untuk pertumbuhan domestik, BRICS mungkin bukan pilihan terbaik untuk jangka panjang. Tambahan pula, BRICS mempunyai kepelbagaian yang luas dalam sistem politik dan ekonomi sekali gus menyukarkan kerjasama erat dalam menangani isu global secara kolektif.
Justeru, amat jelas bahawa kesan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS mungkin tidak semudah dan seindah dijangkakan. Apatah lagi memikul kesan dan beban serta terdedah kepada akibat daripada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara Barat dan Timur. Jadi, apakah berbaloi Malaysia menyertai BRICS atas alasan strategik bagi memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara Selatan-Selatan dan mengukuhkan kedudukan dalam arena ekonomi antarabangsa?
Tidak menyertai BRICS juga bermakna mengekalkan bahkan meneruskan Dasar Memakmurkan Jiran yang berjaya mengharmonikan hubungan Malaysia dengan jiran serantau selama ini. Dengan mengekalkan sikap dan dasar berkecuali, memakmurkan jiran serta kekal mendokong pasaran bebas maka Malaysia sebenarnya berada dalam kedudukan lebih baik dalam konteks keselamatan, kepentingan strategik dan meraikan semua orang.
Lebih baik Malaysia memfokuskan usaha untuk menguasai lebih luas pasaran ASEAN. Malaysia perlu mempelopori inisiatif pengukuhan peranan dan pengaruh NAM yang terpinggir sekian lama. Merangka dan melaksanakan tindakan strategik terhadap kedua-dua perkara ini pasti akan menokok dominasi bahkan melonjakkan paras kemakmuran negara.
Kenapa perlu menguasai pasaran ASEAN? Ia satu blok ekonomi yang berkembang dengan stabil. Dengan populasi lebih 650 juta dan ekonomi yang pelbagai, ASEAN menawarkan alternatif lebih praktikal dan realistik kepada negara yang ingin mengelakkan dominasi kedua-dua kuasa besar iaitu blok Barat (G7) dan BRICS. Seiring pertumbuhan ekonomi serantau, blok ASEAN terus muncul sebagai pilihan yang lebih stabil dengan potensi untuk menjadi kuasa ekonomi lebih besar dalam dekad akan datang.
Sebagai anggota ASEAN, Malaysia bukan sahaja mempunyai akses kepada pasaran serantau yang besar, malah ada kelebihan dalam integrasi ekonomi yang lebih stabil dan mampan. ASEAN selama ini telah membuktikan dinamika dan kebolehupayaan menghadapi cabaran global melalui pendekatan lebih bersepadu serta diplomatik.
Dalam konteks ini, niat Malaysia mahu menyertai BRICS mungkin perlu disemak semula. Ini terutamanya mempertimbangkan risiko yang datang bersama dengan penglibatan lebih mendalam Malaysia dalam blok itu. Malaysia pasti mendapat lebih banyak manfaat ekonomi dan kestabilan jika memperkukuhkan lagi hubungan dengan ASEAN sebagai blok serantau yang lebih stabil dan seimbang.
Dalam konteks perubahan ekonomi global dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara kuasa Barat dan blok BRICS, ASEAN muncul sebagai pilihan yang lebih bijak dan berdaya maju bagi masa depan ekonomi Malaysia. ASEAN dengan 10 negara anggota mempunyai kelebihan unik berbanding BRICS dan G7 sekali gus menjadikannya blok ekonomi yang lebih stabil, koheren dan relevan untuk Malaysia dan negara serantau.
Pertama, tahap integrasi ekonomi ASEAN yang semakin kukuh, mampan dan stabil di mana gagasan ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kerjasama ekonomi melalui pelbagai inisiatif seperti Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dengan matlamat mewujudkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran bersepadu. Ini termasuk langkah pengurangan tarif, pengharmonian peraturan perdagangan serta peningkatan aliran barangan dan modal antara negara anggota.
Integrasi ini membuka peluang besar negara anggota termasuk Malaysia, memperluaskan pasaran eksport, mengurangkan kos transaksi perdagangan dan mempertingkatkan kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor. Ini meliputi infrastruktur, tenaga dan inovasi. Berbanding anggota BRICS yang mempunyai kepelbagaian sistem politik dan ekonomi yang ketara, ASEAN lebih homogen dalam pendekatan ekonominya dan menjadikan blok ini lebih mudah bekerjasama dan mencipta sinergi dalam pelbagai aspek ekonomi.
ASEAN sebuah ekonomi digital dan inovasi teknologi yang pesat sekali gus akan memainkan peranan penting pertumbuhan ekonomi global masa depan. Contoh – Malaysia, Singapura dan Vietnam telah muncul peneraju dalam pembangunan fintech, e-dagang dan teknologi digital serantau. Dalam era teknologi digital menjadi nadi pertumbuhan ekonomi, ASEAN mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pasaran yang semakin berkembang pesat dalam sektor ini.
Ketika ketegangan geopolitik semakin menjejaskan rantaian bekalan global, ASEAN muncul pemain utama dalam penyusunan semula rantaian bekalan. Lokasi strategik negara ASEAN di tengah laluan perdagangan global memberi kelebihan kompetitif yang besar kepada rantau ini. Contoh, Selat Melaka yang terletak di Malaysia adalah laluan perkapalan paling sibuk di dunia menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Dengan kedudukan yang strategik dan bakal Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia juga boleh memainkan peranan penting memperkukuhkan rantau ini sebagai hab logistik dan perdagangan serantau. Pengukuhan infrastruktur logistik dan pengangkutan ini akan menjadikan rantau ini lebih menarik kepada syarikat global yang mahu mempelbagaikan rantaian bekalan akibat ketegangan di antara Barat dan Timur.
Akhir sekali, ASEAN berpotensi besar memperkukuh kerjasama kewangan dan pelaburan antara negara anggota. Menerusi inisiatif seperti Rangka Kerja Penyepaduan Perbankan ASEAN (ABIF) dan Forum Pasaran Modal ASEAN, negara anggota dapat memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk mempertingkatkan aliran modal serta pelaburan serantau. Malaysia boleh memainkan peranan penting memperkukuhkan kerjasama kewangan ini melalui peranan aktif Bank Negara Malaysia dalam menggalakkan kestabilan kewangan dan pembangunan sektor kewangan mampan.
Dengan mempertingkatkan kerjasama kewangan serantau, ASEAN boleh mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan Barat dan mewujudkan kestabilan ekonomi yang lebih baik bagi negara anggota. Ini juga akan membantu Malaysia menghadapi cabaran global yang semakin rencam terutama dalam konteks ketidaktentuan pasaran kewangan global. – UTUSAN
PENULIS adalah Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).






