RIYADH: Kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal memberikan tempoh sehingga hari ini untuk Bruno Fernandes memberi jawapan sama ada mahu menerima tawaran mereka atau tidak.
Kelab berpangkalan di Riyadh itu dilaporkan bersedia menawarkan gaji empat kali ganda berbanding yang diterima Fernandes di Manchester United ketika ini.
Pemain tengah Portugal itu difahamkan bakal menerima pakej kontrak lumayan bernilai 200 juta pound (RM1.14 bilion) untuk tempoh tiga tahun termasuk bonus di kelab Arab Saudi itu.
Wakil pemain 30 tahun itu sudah berunding dengan Al-Hilal dan kini kelab berkenaan memberikan tawaran terakhir untuk Fernandes membuat keputusan.
Kapten United itu kini berada di Malaysia untuk jelajah pra-musim menentang ASEAN All Stars sebelum terbang ke Hong Kong untuk bertemu skuad kebangsaan negara itu, esok.
Jika dia bersetuju, kelab Liga Pro Saudi itu akan menyiapkan kontrak dan membuat tawaran rasmi kepada United dengan yuran perpindahan sekitar 100 juta pound (RM572.69 juta).
Sumber United mengatakan, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak mahu melepaskan pemain terbaik mereka, tetapi situasi kewangan selepas tewas kepada Tottenham di final Liga Europa mungkin akan memaksa mereka melakukannya.
Sekiranya gagal mendapatkan Fernandes, Al-Hilal akan cuba menandatangani pemain Aston Villa, Youri Tielemans atau pemain tengah Atlanta, Ederson. – AGENSI/UTUSAN






